Friday, September 18, 2009

Antara Dua Darjat



Ramadhan 1430H melabuhkan tirainya. Saban tahun pasti ada peristiwa, cerita dan ragam manusia yang terakam dalam layar kehidupan dunia. Tahun ini lain pula kisahnya. Tahun depan kalau-kalau Ramadhan menjengah lagi dalam hidup kita pasti ada lagi kisah baru, plot baru dan bicara yang baru.
Kisah kali ini benar-benar membuat jiwa saya terhenyak dengan pelbagai rasa. Ada rasa sedih,insaf, syukur, geram dan ingin memberontak. Namun. Apakan daya semuanya itu hanya mampu saya bekukan sebentar bersama perasaan-perasaan lain yang kelak bakal dicairkan semula untuk diusahakan resipi penyelesaiannya kemudian nanti.

Seorang rakan sepejabat saya menceritkan kisah ini yang dilihat dan dialaminya sendiri kepada saya dan isteri. Ia berlaku sewaktu beliau keluar sebentar ke syurga membeli belah di kota metropolitan Kuala Lumpur khasnya menjelang musim perayaan. Banyak perkara yang perlu di selesaikan dalam masa yang sangat pendek dan menyesakkan. Maklumlah bergelar seorang ibu yang punya kerjaya sudah tentu masa sangat suntuk untuk menyediakan keperluan berhari raya. Usai melihat dan memilih serta membeli beberapa keperluan, rakan saya itu duduk sebentar melepaskan lelah berjalan di tengah kepanasan bahang kota dan manusia. Tiba-tiba beliau terlihat satu susuk yang tidak beliau kenali. Susuk tubuh itu sedang membuka sambil mencari-cari seuatu dalam timbunan sampah yang diletakkan dalam tong-tong yang disediakan. Agak pelik juga, kerana melihat kelibat ratusan malahan ribuan manusia yang keluar masuk dari kawasan tersebut semuanya menjinjing plastik dan bungkusan berisi segala yang baru untuk lebaran. Tapi, susuk ini lain pula halnya. Yang dicari adalah plastik lama, berair dan busuk, mencari sisa-sisa yang tinggal kalau-kalau masih ada yang punya harga sekupang dua untuk dijual. Keletihan yang tadinya dirasa tiba-tiba hilang. Timbul satu kekuatan untuk mendekati susuk tubuh itu Tambahan pula bersamanya ada dua orang anak kecil yang memegang tangannya dan yang satu lagi masih berada dalam kereta sorong bayi yang sudah usang dan rosak pula rodanya.
"Assalamualaikum," rakan saya itu menyapa. Lama lelaki itu merenung kemudian barulah dia menjawab "Waalaikumussalam." Barangkali ini mungkin kali pertama seorang wanita datang menegurnya atau mungkin manusia pertama pada hari itu.
"Encik tengah cari apa?"
Diam.Seolah-olah banyak yang beliau fikirkan. Tak lama itu barulah keluar jawapannya.
"Cari la botol-botol ke atau barang terbuang. Kalau ada yang boleh guna. Sisa makan pun ada kadang-kadang. Elok lagi. Boleh simpan buat buka nanti."
Rakan saya itu sudah mula menyeka airmatanya. Apatah lagi melihat kelibat anaknya yang memegang tangan kanannya. Yang lebih menyedihkan anak kecil berusia kurang dua tahun, sedang terkelip-kelip matanya menahan panas dalam kereta sorong bayi yang usang itu. Cuma yang ada pada tubuhnya hanyalah sehelai baju dan lampin pakai buang yang sudah padat isinya dan comot rupanya.
"Rumah encik dimana?"
Dia menjawab lemah dan jujur. "Rumah tak ada. Saya dah puas ke hulu ke hilir cari kerja. Siapa nak bagi tengok kita dan anak-anak macam ni. Lepas isteri saya meninggal macam ni lah kami sekeluarga. Kadang-kadang tidur kat Masjid Jamek kadang-kadang kat Puduraya. Tengoklah mana yang sempat itupun kalau orang bagi dan tak halau kami keluar."
"Habis tu macamana saya nak hubungi encik semula lepas ni?
"Tengoklah…ada rezeki kita bersua lah kat mana-mana sekitar kawasan ni…"

Bungkam…pilu…hiba…kasihan.Itulah perasaannya. Sebelum rakan saya itu beredar beliau sempat menghulurkan sejumlah wang. Namun berapa lama mampu ianya bertahan? Teksi ditahan. Di dalam teksi, rakan saya itu tak dapat melepaskan pandangannya kepada lelaki itu tadi dan kelihatan ada seorang wanita lain pula yang datang menyapa. Apabila tiba di pejabat, rakan saya terus mendapatkan isteri saya (yang kebetulan sama tempat kerja kami semua) dan mengisahkan peristiwa benar yang berlaku. Kami kemudiannya merancang untuk mencari semula lelaki tadi untuk diusahakan kedudukan mereka sekeluarga yang sedang diuji keimanan mereka dengan ujian kefakiran.

Berbalik kepada perasaan saya yang awal-awal tadi. Pertamanya sedih. Sedih adalah fitrah jiwa yang melanda setiap insan apabila tersentuh akan sesuatu perkara. Sedih mengenangkan nasib lelaki itu tadi. Sedih juga melihat anaknya yang tidak mendapat belas ihsan seorang ibu apatah lagi kasih sayang dan lebih-lebih lagi perlindungan yang sewajarnya.

Kedua insaf dan syukur. Saya insaf dan syukur akan kenikmatan yang Allah Ta’ala kurniakan untuk saya dan keluarga. Sayyidina Ali r.a kan pernah mengungkapkan kata-kata. "Lihatlah orang yang berada di bawah kamu dan jangan lihat mereka yang berada di atasmu." Insaf mengenangkan yang kita punya makan dan minum untuk berbuka. Kita punya rumah yang boleh kita kembali kepadanya untuk berteduh dari panas dan hujan. Kita punya anak yang ada kasih sayang ibu dan bapa. Kita punya tilam empuk dan selimut yang selesa untuk kita berselimut dari nyamuk dan kesejukan malam. Kita juga punya kerjaya untuk disyukuri dan perlu diusahakan sebaik mungkin sebagai sumber pencarian hidup. Tapi, mereka itu tadi punya apa? Rumah mereka hanyalah tumpangan di kaki lima masjid dan stesen bas. Hidup mereka terpaksa berhujan, berpanas dan mengharapkan hanya kederat kaki yang melangkah lemah. Anak kecil itu yang mungkin tiada pelukan kasih dan belaian manja seorang ibu. Anak-anak itu tidak punya mainan dan tempat yang selesa untuk melepaskan fitrah usia kanak-kanak mereka. Yang ada hanyalah lantai masjid yang sejuk atau bangku simen pelanggan di stesen bas. Anak kecil itu barangkali tiada susu untuk diminum dan mungkin belum pernah lagi mendapat imunisasi. Mereka mungkin hanya mengharapkan kepanasan badan masing-masing dan tidur serapat mungkin untuk menahan diri dari kesejukan malam yang mencengkam.

Ketiga saya sangat geram seterusnya terasa ingin memberontak. Namun inilah yang pertama sekali harus saya bekukan dalam hati saya namun bukan untuk selama-lamanya. Pastinya selepas ini perlu disusuli usaha dan daya untuk menyelesaikannya. Mana tak geram. Dalam kerisauan lelaki tadi mencari tempat berteduh di malam sepi ada pula kisah seorang makhluk yang tak boleh tidur kerana teringatkan kuda peliharaannya di tengah malam. Lantas persis lipas yang terputus kakiknya makhluk itupun terus memandu pecut kereta mewahnya ke kandang untuk membelai kuda kesayangannya itu. Padahal makhluk ini punya jawatan yang sangat berkenaan dengan kes lelaki ini. Teringat saya bahawasanya suatu ketika Sayyidina Umar al-Khattab sendiri pernah memikul beban membawa makanan di atas bahunya untuk diagihkan sendiri kepada asnaf. Ini seorang khalifah! Fikirannya hanya untuk mengenyangkan perut rakyat. Lena malamnya terganggu bukan teringatkan kuda ataupun kekayaannya namun kerana teringatkan asnaf yang belum lagi terbela. Sedangkan makhluk itu tadi yang hanya berjawatan pengarah dan setiausaha kepada sebuah majlis agama terjaga dari tidur kerana mimpikan kudanya! Seharusnya makhluk ini malu pada dirinya sendiri apatah lagi dengan jawatannya yang dimegahi selama ini.

Ingatlah semua. Inilah sebahagian dari tanggungjawab kita. Tanggungjawab untuk kita tunaikan. Kerana Allah sudah tentukan hak mereka dalam harta kita. Mereka itu diuji olah Allah Ta’ala dengan ujian yang sebenar. Ujian kefakiran dan kemiskinan. Ujian yang kita lihat mereka hadapi dengan tabah dan sabar. Tanpa keluhan mahupun sesal. Cuba kita bayangkan apakah kita mampu untuk bersedia menghadapi ujian seumpama itu. Fikirkanlah. Justeru, Aidilfitri ini kita sederhanakan persiapan dan kegembiraan, maksimumkan ihsan dan kayakan dengan rasa syukur serta jiwa penuh keinsafan.

"Ibnu Qayyim al-Jauziyyah pernah menulis dalam kitabnya al-Fawaid : Bahawasanya ada seorang sahabat bernama Bisyr al-Hafiyy yang sangat suka menerima tamu di rumahnya. Sentiasa sahaja ada yang menziarahinya untuk meminta nasihat dan pandangan. Pada suatu malam yang gelap dan sejuk, telah datang kepadanya beberapa orang sahabat untuk berziarah. Beliau lantas mempersilakan mereka masuk. Alangkah terkejutnya sahabat-sahabat itu melihat Bisyr tidak berbaju sambil terketar-ketar menahan kesejukan. Lantas mereka bertanya gerangannya berbuat demikian. Lalu Bisyr dengan rendah hati menjawab : Jika aku tidak mampu untuk bertoleransi dengan kemiskinan (jadi orang yang miskin) sekurang-kurangnya aku mampu bertoleransi dengan merasai kesejukan mereka di malam hari tanpa selimut dan rumah untuk berlindung dengan berbuat begini…"

No comments:

Post a Comment