Sunday, September 27, 2009

Tak Ada Open House Ke?


Hari ni hari pertama saya di pejabat. Dah hampir seminggu cuti beraya (entry blog pun cuti sama). Tahun ni beraya jauh sikit kat Perlis dan Kedah. Yang itu kita story kemudian.


Sememangnya menjadi adat masyarakat kita menjadikan rumah terbuka untuk dikunjungi sepanjang musim perayaan. Teringat saya zaman dulu-dulu. Rumah akan sentiasa dikunjungi. Kadang-kadang orang yang tak kenal pun ada jugak. Itu suasana dulu...datang rumah tak payah nak formality itu dan ini...semuanya informal...


Zaman dah mula berubah. Hari ni kalau takde apa yang dinamakan 'open house' maka takde orang nak datang rumah. Persoalannya perlu ke buat atau tak perlu? Apapun jawapannya, bagi saya sesuatu yang agak kurang senonoh adalah bila tiap kali kita jumpa sahabat ke atau sesiapa sahaja lepas raya ni kita suka sangat bertanya, "Takde buat open house ke?"


Cuba kita tengok balik soalan kita tu. Mungkin tiada apa silapnya. Tetapi adakah kita fikir sejenak perasaan orang kita tanyakan tu? Mana la tau dia takde modal ke...dah habis duit ke...takde budget ke...Mungkin dia terasa malu atau keberatan nak jawab. Last-last dia pun terpaksa kumpul duit (yang memang dah takde) semata-mata kerana permintaan kita yang tak tahu malu tu.


Kita tengok lagi..Soalan kita tu tadi menggambarkan kita ni jenis yang suka meminta atau jenis yang suka memberi? Anda fikir dan jawab sendiri. Sesetengah kita tu pulak sengaja berjalan dan bertandang ke rumah sahabat handai dengan tujuan supaya orang tak datang dulu rumah kita beraya...bukan nak ziarah sangat pun...Astaghfirullah... Lagi satu kalau orang ke, sahabat ke, teman sepejabat ke atau siapa-siapa sahaja pun tak buat 'open house' salah ke kalau kita nak pergi beraya rumah dia? Apakah mesti dia announce buat rumah terbuka baru kita boleh datang? Salah ke kalau kita cuma telefon dia dalam sejam dua sebelum datang rumah and then terus je pergi ziarah tanpa perlu menyusahkan saudara kita tu dengan harapan untuk dia buat 'open house' samada besar-besaran atau kecil-kecilan (urusannya mungkin agak menyulitkan bagi sesetengah pihak)...Pandai pulak tu siap bagi cadangan tak payah buat berat-berat makan yang ringan-ringan pun ok...Lagi satu yang kita duk tanya orang tu sangat...Kita ada ke jemput orang datang rumah kita atau kita dulu yang offer buat 'open house'?


Jangan sampai kita hilang rasa malu. Jangan sampai kita hilang akal budi. Jangan sampai kita tiada pedoman dalam pergaulan. Seolah-olah lepas raya ni macam kita suka sangat nak berpesta makan. Cuba kita tukar sikit gaya bahasa dan topik yang kita ingin tanya. Tanyakan tentang puasa enam ke, tanyakan tentang raya hari tu ke, atau lebih baik offer dulu sahabat kita datang rumah beraya. Perkara yang lebih kita perlu utamakan ialah konsep ziarah menziarahi yang mendatangkan pahala. Hak sahabat untuk diziarahi ketika sakit, ziarah penyambung ukhuwwah dan ziarah pengerat tali persaudaraan yang mungkin terputus hubungannya sekian lama. Bab makan minum ni dah jadi perkara yang kedua dan boleh dikatakan ketiga. Not the main priority anymore. Insafilah para tetamu sekelian...Syukurilah apa yang mungkin dihidangkan. Jangan dikomen mahupun dikritik. Ini bukan pertandingan memasak. Ada juga yang suka pula membanding-banding dengan mengatakan yang ini pemurah dan yang ini pula kedekut. Sememangnya Ikram al-Dhaif (memuliakan dan melayani tetamu) sesuatu yang dianggap sebagai kesempurnaan Iman. Namun lihatlah kemampuan diri dihiasi tarbiyyah jiwa dan rohani. Bukankah menghubungkan silah (persaudaraan) itu nikmat yang lebih indah?

Entry kali ni bukan nak bersifat sarcastic terhadap sesiapa. Mereka yang buat rumah terbuka ni memang banyak pahalanya, besar ganjarannya. Kepada mereka yang sudah merancang untuknya, teruskan niat murni anda. Setiap tetamu yang datang bawa rahmat dan pulangnya mereka bawa berkat dan pengampunan dosa buat kita. Tetapi, jika kita tanyakan dulu kepada orang lain, apakah kita ini sudah terlalu selesa dan sombong sehingga kita sendiri yang tidak mahu merebut pahalanya? Justeru, ayat apakah yang harus kita ungkapkan selepas ini agar tidak kita menyakiti sesiapa? Fikirkan dan renungkan...


"Seburuk-buruk makanan ialah yang padanya tidak dijamu fakir miskin" Mafhum Hadith

Friday, September 18, 2009

EID FITR 1430H




EID FITR 1430


andai...


andai malam ini iftar terakhir

andai semalam sahur berakhir

andai semalam tarawih tidak dimungkir

andai al-nas surah terakhir

andai tahlil lafaz terakhir

andai Ramadhan ini Ramadhan terakhir


hargainya...nikmatinya...hidupkanlah ia...


jika punya ruang dan masa

peluang dan usia

izin dan restuNya


berjumpa lagi hendaknya

dengan bulan penuh mulia


usai ramadhan ini

jangan kita lalai lagi

kerana waktu tak kita miliki


soal diri kita

apakah kita punya taqwa

apakah kita sudah kembali

kepada fitrah sebenar insani


jangan lebaran ini

ada yang sanggup cemari

hingga mampu lupa diri

seolah-olah tak kenal Ilahi...


Salam Eid Fitri

Segala Dosa Moga DiAmpuni






Antara Dua Darjat



Ramadhan 1430H melabuhkan tirainya. Saban tahun pasti ada peristiwa, cerita dan ragam manusia yang terakam dalam layar kehidupan dunia. Tahun ini lain pula kisahnya. Tahun depan kalau-kalau Ramadhan menjengah lagi dalam hidup kita pasti ada lagi kisah baru, plot baru dan bicara yang baru.
Kisah kali ini benar-benar membuat jiwa saya terhenyak dengan pelbagai rasa. Ada rasa sedih,insaf, syukur, geram dan ingin memberontak. Namun. Apakan daya semuanya itu hanya mampu saya bekukan sebentar bersama perasaan-perasaan lain yang kelak bakal dicairkan semula untuk diusahakan resipi penyelesaiannya kemudian nanti.

Seorang rakan sepejabat saya menceritkan kisah ini yang dilihat dan dialaminya sendiri kepada saya dan isteri. Ia berlaku sewaktu beliau keluar sebentar ke syurga membeli belah di kota metropolitan Kuala Lumpur khasnya menjelang musim perayaan. Banyak perkara yang perlu di selesaikan dalam masa yang sangat pendek dan menyesakkan. Maklumlah bergelar seorang ibu yang punya kerjaya sudah tentu masa sangat suntuk untuk menyediakan keperluan berhari raya. Usai melihat dan memilih serta membeli beberapa keperluan, rakan saya itu duduk sebentar melepaskan lelah berjalan di tengah kepanasan bahang kota dan manusia. Tiba-tiba beliau terlihat satu susuk yang tidak beliau kenali. Susuk tubuh itu sedang membuka sambil mencari-cari seuatu dalam timbunan sampah yang diletakkan dalam tong-tong yang disediakan. Agak pelik juga, kerana melihat kelibat ratusan malahan ribuan manusia yang keluar masuk dari kawasan tersebut semuanya menjinjing plastik dan bungkusan berisi segala yang baru untuk lebaran. Tapi, susuk ini lain pula halnya. Yang dicari adalah plastik lama, berair dan busuk, mencari sisa-sisa yang tinggal kalau-kalau masih ada yang punya harga sekupang dua untuk dijual. Keletihan yang tadinya dirasa tiba-tiba hilang. Timbul satu kekuatan untuk mendekati susuk tubuh itu Tambahan pula bersamanya ada dua orang anak kecil yang memegang tangannya dan yang satu lagi masih berada dalam kereta sorong bayi yang sudah usang dan rosak pula rodanya.
"Assalamualaikum," rakan saya itu menyapa. Lama lelaki itu merenung kemudian barulah dia menjawab "Waalaikumussalam." Barangkali ini mungkin kali pertama seorang wanita datang menegurnya atau mungkin manusia pertama pada hari itu.
"Encik tengah cari apa?"
Diam.Seolah-olah banyak yang beliau fikirkan. Tak lama itu barulah keluar jawapannya.
"Cari la botol-botol ke atau barang terbuang. Kalau ada yang boleh guna. Sisa makan pun ada kadang-kadang. Elok lagi. Boleh simpan buat buka nanti."
Rakan saya itu sudah mula menyeka airmatanya. Apatah lagi melihat kelibat anaknya yang memegang tangan kanannya. Yang lebih menyedihkan anak kecil berusia kurang dua tahun, sedang terkelip-kelip matanya menahan panas dalam kereta sorong bayi yang usang itu. Cuma yang ada pada tubuhnya hanyalah sehelai baju dan lampin pakai buang yang sudah padat isinya dan comot rupanya.
"Rumah encik dimana?"
Dia menjawab lemah dan jujur. "Rumah tak ada. Saya dah puas ke hulu ke hilir cari kerja. Siapa nak bagi tengok kita dan anak-anak macam ni. Lepas isteri saya meninggal macam ni lah kami sekeluarga. Kadang-kadang tidur kat Masjid Jamek kadang-kadang kat Puduraya. Tengoklah mana yang sempat itupun kalau orang bagi dan tak halau kami keluar."
"Habis tu macamana saya nak hubungi encik semula lepas ni?
"Tengoklah…ada rezeki kita bersua lah kat mana-mana sekitar kawasan ni…"

Bungkam…pilu…hiba…kasihan.Itulah perasaannya. Sebelum rakan saya itu beredar beliau sempat menghulurkan sejumlah wang. Namun berapa lama mampu ianya bertahan? Teksi ditahan. Di dalam teksi, rakan saya itu tak dapat melepaskan pandangannya kepada lelaki itu tadi dan kelihatan ada seorang wanita lain pula yang datang menyapa. Apabila tiba di pejabat, rakan saya terus mendapatkan isteri saya (yang kebetulan sama tempat kerja kami semua) dan mengisahkan peristiwa benar yang berlaku. Kami kemudiannya merancang untuk mencari semula lelaki tadi untuk diusahakan kedudukan mereka sekeluarga yang sedang diuji keimanan mereka dengan ujian kefakiran.

Berbalik kepada perasaan saya yang awal-awal tadi. Pertamanya sedih. Sedih adalah fitrah jiwa yang melanda setiap insan apabila tersentuh akan sesuatu perkara. Sedih mengenangkan nasib lelaki itu tadi. Sedih juga melihat anaknya yang tidak mendapat belas ihsan seorang ibu apatah lagi kasih sayang dan lebih-lebih lagi perlindungan yang sewajarnya.

Kedua insaf dan syukur. Saya insaf dan syukur akan kenikmatan yang Allah Ta’ala kurniakan untuk saya dan keluarga. Sayyidina Ali r.a kan pernah mengungkapkan kata-kata. "Lihatlah orang yang berada di bawah kamu dan jangan lihat mereka yang berada di atasmu." Insaf mengenangkan yang kita punya makan dan minum untuk berbuka. Kita punya rumah yang boleh kita kembali kepadanya untuk berteduh dari panas dan hujan. Kita punya anak yang ada kasih sayang ibu dan bapa. Kita punya tilam empuk dan selimut yang selesa untuk kita berselimut dari nyamuk dan kesejukan malam. Kita juga punya kerjaya untuk disyukuri dan perlu diusahakan sebaik mungkin sebagai sumber pencarian hidup. Tapi, mereka itu tadi punya apa? Rumah mereka hanyalah tumpangan di kaki lima masjid dan stesen bas. Hidup mereka terpaksa berhujan, berpanas dan mengharapkan hanya kederat kaki yang melangkah lemah. Anak kecil itu yang mungkin tiada pelukan kasih dan belaian manja seorang ibu. Anak-anak itu tidak punya mainan dan tempat yang selesa untuk melepaskan fitrah usia kanak-kanak mereka. Yang ada hanyalah lantai masjid yang sejuk atau bangku simen pelanggan di stesen bas. Anak kecil itu barangkali tiada susu untuk diminum dan mungkin belum pernah lagi mendapat imunisasi. Mereka mungkin hanya mengharapkan kepanasan badan masing-masing dan tidur serapat mungkin untuk menahan diri dari kesejukan malam yang mencengkam.

Ketiga saya sangat geram seterusnya terasa ingin memberontak. Namun inilah yang pertama sekali harus saya bekukan dalam hati saya namun bukan untuk selama-lamanya. Pastinya selepas ini perlu disusuli usaha dan daya untuk menyelesaikannya. Mana tak geram. Dalam kerisauan lelaki tadi mencari tempat berteduh di malam sepi ada pula kisah seorang makhluk yang tak boleh tidur kerana teringatkan kuda peliharaannya di tengah malam. Lantas persis lipas yang terputus kakiknya makhluk itupun terus memandu pecut kereta mewahnya ke kandang untuk membelai kuda kesayangannya itu. Padahal makhluk ini punya jawatan yang sangat berkenaan dengan kes lelaki ini. Teringat saya bahawasanya suatu ketika Sayyidina Umar al-Khattab sendiri pernah memikul beban membawa makanan di atas bahunya untuk diagihkan sendiri kepada asnaf. Ini seorang khalifah! Fikirannya hanya untuk mengenyangkan perut rakyat. Lena malamnya terganggu bukan teringatkan kuda ataupun kekayaannya namun kerana teringatkan asnaf yang belum lagi terbela. Sedangkan makhluk itu tadi yang hanya berjawatan pengarah dan setiausaha kepada sebuah majlis agama terjaga dari tidur kerana mimpikan kudanya! Seharusnya makhluk ini malu pada dirinya sendiri apatah lagi dengan jawatannya yang dimegahi selama ini.

Ingatlah semua. Inilah sebahagian dari tanggungjawab kita. Tanggungjawab untuk kita tunaikan. Kerana Allah sudah tentukan hak mereka dalam harta kita. Mereka itu diuji olah Allah Ta’ala dengan ujian yang sebenar. Ujian kefakiran dan kemiskinan. Ujian yang kita lihat mereka hadapi dengan tabah dan sabar. Tanpa keluhan mahupun sesal. Cuba kita bayangkan apakah kita mampu untuk bersedia menghadapi ujian seumpama itu. Fikirkanlah. Justeru, Aidilfitri ini kita sederhanakan persiapan dan kegembiraan, maksimumkan ihsan dan kayakan dengan rasa syukur serta jiwa penuh keinsafan.

"Ibnu Qayyim al-Jauziyyah pernah menulis dalam kitabnya al-Fawaid : Bahawasanya ada seorang sahabat bernama Bisyr al-Hafiyy yang sangat suka menerima tamu di rumahnya. Sentiasa sahaja ada yang menziarahinya untuk meminta nasihat dan pandangan. Pada suatu malam yang gelap dan sejuk, telah datang kepadanya beberapa orang sahabat untuk berziarah. Beliau lantas mempersilakan mereka masuk. Alangkah terkejutnya sahabat-sahabat itu melihat Bisyr tidak berbaju sambil terketar-ketar menahan kesejukan. Lantas mereka bertanya gerangannya berbuat demikian. Lalu Bisyr dengan rendah hati menjawab : Jika aku tidak mampu untuk bertoleransi dengan kemiskinan (jadi orang yang miskin) sekurang-kurangnya aku mampu bertoleransi dengan merasai kesejukan mereka di malam hari tanpa selimut dan rumah untuk berlindung dengan berbuat begini…"

Monday, September 14, 2009

Jangan Lupa Tunai Fitrah



Dalam satu kaedah ilmiah ada menyatakan "Ilmu sebelum berbicara dan beramal." So, to all fellow amil out there and also to all fellow muslims, I would like to share this with you...

CRASH COURSE HUKUM ZAKAT FITRAH DAN KAFFARAH

Zakat Fitrah

KEFARDHUAN


Hadith 1:

Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi S.A.W memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulasan : Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah ini wajib dikeluarkan oleh SETIAP umat Islam. Cuma para fuqaha menetapkan yang afdal menunaikan fitrah ialah orang yang wajib atasnya memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang menjaga dan membesarkan cucunya. Secara mudahnya orang yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan dan urusan memberi nafkah keluarga.

SIAPA YANG WAJIB BAYAR?

1. Semua INDIVIDU dari kalangan LELAKI, WANITA, KECIL, BESAR, TUA, MUDA, HAMBA atau MERDEKA. (Anak perempuan yang masih belum berkahwin masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun begitu. jika anak tersebut nak bayar sendiri pun boleh dan sebaiknya minta izin dulu dari ayahnda tercinta)

2. Semua yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan sehingga hari raya. kalau MISKIN atau FAQIR tak wajib keluar tapi boleh dapat zakat.

3. Semua yang berada (ada duit dan ada nyawa / hidup) pada waktu wajib membayar zakat fitrah.

Tambahan perbincangan :

-Pelajar yang sedang menuntut ilmu di universiti / kolej / asrama :

Pelajar yang sedang menuntut ilmu di universiti / kolej / asrama dan ada duit poket atau pinjaman atau biasiswa pun KENA bayar zakat fitrah. (Biasanya orang tua mereka yang bayarkan tapi kalau prepaid nak telefon 'mata air' buleh 'top up' sampai sepuluh ringgit takkan nak bayar fitrah tak leh nak korban sikit kot?)

-Bos bayarkan untuk pekerja atau tuan rumah bayarkan untuk amah / orang gaji / pembantu rumah?

Dalam hal ini, Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan ketua atau pemilik kepada amah atau pembantu rumah itu LEBIH AFDHAL membayar zakat fitrah baginya walaupun amah tersebut wajib membayarnya sendiri.

-Antara hidup, mati dan kelahiran di Ramadhan dan Syawal.

Dalam hal ini, ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.

Bagi mereka yang hidup pada Ramadan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.

Bagi setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadan, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadan maka tidak wajib fitrah baginya.

So kesimpulannya adalah :

HIDUP dalam Ramadhan sampai Aidilfitri - WAJIB FITRAH
HIDUP dalam Ramadhan MATI sebelum MAGHRIB Hari Terakhir Ramadhan - TAK WAJIB FITRAH
HIDUP dalam Ramadhan MATI selepas MAGHRIB Hari Terakhir Ramadhan - WAJIB FITRAH
HIDUP dalam perut ibu sewaktu RAMADHAN lahir sebelum MAGHRIB Hari Terakhir Ramadhan dan HIDUP selepas Maghrib itu (walaupun mungkin hanya beberapa detik) - WAJIB FITRAH
HIDUP dalam perut ibu tapi lahir selepas MAGHRIB Hari Terakhir Ramadhan atau pada PAGI Aidilfitri - TAK WAJIB FITRAH


*Cuma ada satu cadangan daripada Umar al-Khattab R.A yang mengatakan kalau ibu mengandung nak bayarkan fitrah bagi anak dalam kandungan adalah DIBOLEHKAN untuk tambah pahala sunat (tathawwu'). Namun begitu hukumnya tetap tak wajib sebagaimana senarai kes di atas tadi.


WAKTU BAYAR FITRAH

Daripada Ibnu Abbas, Baginda S.A.W bersabda, “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah”. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

WAKTU WAJIB - Selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan hingga sebelum Solat Sunat Aidilfitri

WAKTU SUNAT / AFDHAL - Pagi Aidilfitri sebelum Solat Sunat Aidilfitri.

WAKTU HARUS - 1 atau 2 hari sebelum Aidilfitri. Ada pendapat mengatakan boleh bayar bermula dari hari pertama Ramadhan.

WAKTU HABIS (makno ee dah tak leh bayar) - SELEPAS SOLAT AIDILFITRI
.

*Kecuali dalam kes tertentu misalnya tak mendapat makluman mengenai tarikh hari raya contohnya berada jauh dari manusia, dalam hutan atau sedang musafir. jika terlepas waktunya maka dianggap zakat fitrah jika dibayar selepas solat pun. Ataupun jika dapat maklumat tapi dah terlewat dan tak sempat atau ketiadaan asnaf untuk terima zakat tersebut. Wallahu A'alam. Apapaun kalau terlepas, WAJIB QADHA, namun ia tidak dianggap sebagai fitrah lagi tetapi sekadar sedekah biasa sahaja.

KADAR BAYARAN IKUT HARGA BERAS MANA?

Para fuqaha memutuskan bahawa zakat fitrah itu berdasarkan makanan ruji tempatan. Kalau di Malaysia, kadarnya adalah mengikut harga beras yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dari Abu Said al-Khudri, Rasulullah bersabda: Kami pada zaman Nabi mengeluarkan zakat daripada makanan ruji, waktu itu ialah gandum, kurma, kismis dan roti. (riwayat Bukhari)

Tidak semestinya kita membayar fitrah mengikut harga beras yang kita makan. Memadai kita bayar mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh masyarakat secara umum.

Namun, bagi mereka yang makan beras wangi dan sebagainya, jika mereka membayar fitrah berdasarkan kadar harga beras tersebut adalah lebih afdal.

BAYAR DI MANA? KL ATAU KAMPUNG?

Perkara ini tidak harus dijadikan isu. Soal hendak bayar di mana tidak patut timbul. Bagi zakat fitrah, ia boleh dijelaskan di mana-mana baik di kampung atau di bandar tempat kita bekerja.

Bagaimanapun, jika zakat harta, adalah lebih afdal menunaikannya di tempat kita mencari rezeki.


KAFFARAH JIMAK PADA SIANG HARI RAMADHAN

Kaffarah bagi kesalahan ini adalah memerdekakan hamba, berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin.

Kesalahan ini adalah perbuatan melanggar perintah Allah dan Rasul. Soalnya, apakah begitu mudah kita hendak melepaskan diri dengan hanya memilih membayar makan 60 fakir miskin?

Hukuman atau kaffarah ini BUKAN boleh dipilih ikut suka tetapi mengikut tertibnya. Orang yang terlibat, dalam kes ini hanya SUAMI yang dikenakan kaffarah hendaklah cuba dulu berpuasa selama dua bulan bertutrut-turut. Kalau tidak mampu, barulah boleh pilih yang paling ringan.Sebabnya, kini sudah tidak ada lagi hamba untuk dimerdekakan. Jadi pilihan yang ada cuma berpuasa atau memberi makan fakir miskin.

Namun begitu, ada pendapat yang memberi kelonggaran dalam urusan taubat itu memberi sedikit kelonggaran dalam kes begini.
Ini dinyatakan oleh bekas Ahli Fatwa Arab Saudi, Sheikh Muhammad Saleh al-Uthaimain. Beliau menyebut, suami yang terlibat perlu berpuasa berturut-turut selama sebulan dan dalam bulan yang kedua berpuasa sehari. Selepas itu, bolehlah dia menghabiskan baki puasa sama ada secara berturut-turut atau berselang-seli.

Ada dua pendapat secara umumnya mengenai kaffarah sekiranya pasangan tersebut berbuka terlebih dahulu sebelum jimak :

Pertama : Tiada kaffarah. Tetapi berdosa besar kerana berbuka puasa dengan bukan uzur syari'e. Puasa tersebut wajib digantikan.

Kedua : Tetap dikenakan kaffarah (lihat komentar Dr.Wahbah Zuhaily. Puasa hari tersebut juga perlu digantikan.

Kesimpulan : Golongan ini melakukan dua dosa. Pertama, berbuka puasa bukan kerana uzur. Kedua, berjimak pada siang hari.

Berbuka puasa Ramadan tanpa keuzuran sebenarnya amat merugikan. Rasulullah SAW bersabda, “sesiapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa rukhsah dan tanpa sakit, dia tidak mampu menggantikannya dengan puasa seumur hidup sekalipun dia melakukannya”. (riwayat Tirmizi)

BERBUKA TANPA UZUR ADALAH SATU DOSA BESAR. APAKAH MAMPU KITA TANGGUNG DOSA ITU???


Penjelasan hukum :

JIka melakukan jimak berkali-kali tetapi dalam sehari sahaja, maka kaffarah hanya dikira satu / sekali.
Jika jimak tersebut berlaku dalam hari yang berbeza, maka kaffarah dikenankan mangikut bilangan hari. Contohnya :-

Hari Ahad : Jimak = Kaffarah puasa 2 bulan / beri makan 60 miskin
Hari Isnin : JImak = Kaffarah puasa 2 bulan / beri makan 60 miskin.

Jadi jika jimak pada kedua-dua hari itu berlaku maka kaffarahnya menjadi 4 bulan puasa / beri makan 120 orang miskin. Begitulah seterusnya jika berlaku pada hari yang berbeza maka kaffarahnya dikenakan mengikut bilangan hari jimak dilakukan bukan bilangan kekerapan jimak. Wallahu A'alam.

Monday, August 31, 2009

Abadi & Kekal



Dalam Surah al-Kahfi ayat 46, Allah s.wt berfirman yang bermaksud :


"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amal kebajikan yang terus-menerus (abadi dan kekal) adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk diharapkan (pahalanya)."


Dalam Tafsir Al-Quran Al-A'zim karya Al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah menukilkan pendapat daripada 'Ataa bin Abi Rabah dan Sa'id bin Jubair daripada Ibnu Abbas R.A tentang Al-Baqiyaat Al-Salihaat (Amalan yang kekal dan abadi) itu ialah :



  • Subhanallah سبحان الله

  • Alhamdulillah الحمدلله

  • La Ilaha IllaLlah لااله الا الله

  • Allahu Akbar الله أكبر

  • La Haw La Wa La Quwwata Illa BiLlah لا حول ولا قوة إلا بالله [Penambahan oleh Sayyidina Uthman bin Affan tatkala ditanya mengenainya]

Hmm...Ate? Apa lagi yang mike tunggu? Moh le kita sama-sama mula beramal. Harta, anak pinak, kebendaan semua tu akan lenyap dan hilang jika tiba masanya. Molek juga kalau usahakan sesuatu yang kekal. Kan mudah je tu ha iarpun sikit tapi nilainya hebat...Sambil-sambil duk menaip ke, reporting ke, berblog ke, ber'YM' ke, ber'FB' ke atau berehat. Elok benor le tu dari duk mengumpat hal orang atau ngata yang bukan-bukan. Maklumle, ujian Ramadhan ni tak terduga. So, I'm hoping for the best of all especially in the Hereafter..

"Ya Allah Ya Tuhanku. Berikan daku jiwa yang tenang dan yakin akan hari pertemuan denganMu, merasa cukup dengan nikmatMu, redha terhadap ketentuanMu dan takut kepadaMu dengan sebenar-benar rasa takut. Tiada daya mahupun upaya kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung" [Petikan dari Al-I'itisam oleh Al-Imam Al-Syatibi]



Fikrah Awal Ramadhan 1430H



Assalamualaikum...

Bismillah Wa al-Solat Wa al-Salam 'Ala Rasulillah....

Diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab R.A berkata : Sabda Rasulullah S.A.W :

"Sesungguhnya setiap amalan itu tertakluk (bergantung) kepada niat. Setiap seorang akan mendapati sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya Hijrahnya itu kerana Allah dan Rasulnya..." [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Salam Ukhuwwah dan Salam Ramadhan Al-Mubarak.

Apa kabor semua? Moga-moga Ramadhan kali ini betul-betul dapat menatijahkan TAQWA buat kita. Buang tebiat gamaknye teman...tak pernah terpikir nak create blog tetiba je malam ni tanggal 11 Ramadhan 1430H telah terukir satu sejarah (kot ye buleh kata sejarah) dengan adanya blog zubaralhadid1430 entitled Pieces of Iron ni (kemain namanya). Alhamdulillah... itu aje yang teman buleh kata malam ni. Sebelum ni secara jujurnya teman agak TAKUT nak buat blog ni. Maklumle...time orang tengah rancak buat blog kita pun nak buat blog jugak. Risau dengan fikiran dan telahan umum. Namun itukan udah namanya mulut orang. Kot mulut tempayan buleh juge menutupnya dengan talam. Tapi nikan mulut orang, fikiran orang. Bukannya boleh kita tahan-tahan ye dak? Apapun bukan semuanya negatif tapi banyak juga yang positif tentang fikrah awal memulakan blog ni. Berbalik pada niat (macam hadith mule-mule kat atas tadi tu haa)...bukan nak glamer tapi sekurang-kurangnya kot ada yang baik dalam blog ni buleh jadi ilmu atau maklumat yang bermanfaat. Kita ni kan amalannya bukan macam salaf al-soleh. Kot ada yang baik kita buat sama-sama. Kan ada tiga benda je yang jadi bekal kita dalam kubur esok ni. Antaranya ialah ilmu yang bermanfaat. Nak kate sedekah idak le pulak macam Abdul Rahman bin Auf...Nak kata ada anak soleh harapnya Insya Allah gitule hendaknya...baru umor setahun dua bulan setengah...Moga-moga doa Abah malam Ramadhan ni Allah terima...Itu le lebih kurangnya Fikrah Awal Ramadhan 1430H.

Secara muqaddimahnya gitu le...harapan teman bior le usaha ni jadi pemberat mizan teman kat akhirat nanti. Hendaknya gitu le sepanjang permukiman kita kat dunia yang kita pinjam ni...By the way ngikut gaye bahase teman ni kome boleh agak le gamaknya teman orang mana kan? Sehingga berjumpa lagi dalam entry yang berikutnya...wassalam...


"Tirulah mereka jika tak mampu menjadi seperti mereka,
Sesungguhnya meniru mereka yang mulia (soleh) itu satu kejayaan bagimu"